salam..
kalau diikutkan perancangan, saya tidak sepatutnya berada di alam maya ini, tidak sepatutnya ada entri dari saya dalam seminggu ini.. tetapi manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan segala-galanya...
begini permulaan cerita....
saya dan suami telah merancang untuk mengerjakan haji pada tahun ini, mengikuti pakej yang ada di Saudi.. di awal bulan Zulkaedah dulu, permohonan telah dibuat melalui Syarikat Sameer.
Nota 1 : untuk pengetahuan semua, kami di Saudi bukannya boleh pergi begitu sahaja untuk mengerjakan haji. Bermakna kami perlu membuat permohonan juga, perlu mendapat kelulusan dari Ministry of Hajj dan seterusnya selepas diluluskan perlu ada tanda pengenalan diri yang dikenali sebagai 'tasreeh'... hatta mereka yang tinggal di Mekah pun khabarnya pada tahun ini perlu ada kad tasreeh...
jika diikut perancangan, kad tasreeh ini akan diperolehi beberapa hari sebelum bertolak ke Mekah dan kami akan bertolak selepas Asar, Jumaat, 7 Zulhijjah 1429, bersamaan 5 Disember 2008.
Rabu, 5 Zulhijjah, kami diberitahu hanya ada 1 kad tasreeh yang kembali... itupun dengan kesalahan nama dan nombor iqama milik suami, tapi gambarnya adalah saya... kata wakil syarikat itu, tidak mengapa boleh dibetulkan... hari yang sama juga, suami mendapat tahu, ada 4 permohonan (kalau tak silap) yang telah ditolak. 3 daripadanya dengan alasan mereka telah mengerjakan haji sebelum ini (iaitu data mereka telah ada di dalam sistem Ministry of Hajj). 1 lagi permohonan ditolak dengan alasan nombor iqama yang salah (hanya suaminya yang mendapat kelulusan)
Nota 2 : untuk warga Saudi atau mereka yang bekerja di Saudi dan ingin mengerjakan haji dari Saudi ini, kerajaan Saudi hanya membenarkan setiap 5 tahun sahaja (ada juga yang mengatakan setiap 3 tahun)
Nota 3 : iqama itu adalah seperti kad pengenalan untuk penduduk yang bukan berkerakyatan Saudi.
Khamis, 6 Zulhijjah sekali lagi suami ke syarikat itu, masih lagi kad salah itu sahaja yang ada... dan wakil itu memberi jaminan akan menyelesaikan masalah itu kerana menurutnya nama kami telah ada dalam sistem... just a matter of printing out the document... hati sudah rasa lain macam... cuma tidak dizahirkan kerisauan ini, takut mengganggu konsentrasi (untuk mengerjakan haji) suami. Malamnya, selepas Isya' sekali lagi suami ke syarikat itu... dan kali ini pulangnya dia membawa berita yang tidak diharapkan.. Katanya, kad tasreeh yang salah itu sememangnya untuk suami... tetapi yang tidak ada adalah kad tasreeh untuk saya! Dan nama yang kononnya telah ada di dalam sistem itu pun sebenarnya tidak ada... bila disemak, katanya nombor iqama saya tidak wujud langsung di dalam sistem.. Ketika saya mendengar berita ini, terasa sangat kosong... bak kata orang, rasa sungguh blurrr ketika itu... terasa seperti gurauan yang langsung tidak masuk akal... sebulan yang lepas permohonan dibuat, terlebih dahulu sebelum orang-orang lain (merujuk kepada malaysian juga), esok akan bertolak, malam ini baru diberitahu nama tidak wujud... Melihatkan respon saya yang begitu, suami menelefon Shah untuk berbincang... Shah dan Siti sampai, cerita yang sama diceritakan oleh suami... dan saya masih kosong, terdiam tidak mampu berkata-kata...
Dan malam itu, barulah air mata turun selebat-lebatnya, tidak mampu ditahan-tahan lagi... dari pukul 11 malam hinggalah pukul 1 pagi, sambung lagi selepas solat subuh....mata sebengkak-bengkaknya.. Rasa kecewa itu tidak perlu ditipu, sememangnya ada... persediaan telah bermula seelok pulang bercuti ke Malaysia Julai-Ogos lepas... persiapan semua telah dibeli di sana... adakah hanya suami yang akan pergi ataupun tidak?
Perbincangan demi perbincangan dilakukan... antara suami dan Shah, antara saya dan suami... perlahan-lahan kami kembali ke alam nyata.. tidak lagi dibuai perasaan kecewa itu...
Begini pula pengakhiran cerita...
Kami redha, kami terima ketentuan Allah s.w.t, kami terima Qada' dan Qadar, kami terima bahawa saya belum mendapat jemputan untuk menjadi tetamunya... Hanya Allah yang mengerti kenapa ini semua terjadi, hanya Allah yang tahu hikmah tersembunyi, hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kami, kita hanya perlu bersangka-baik dengan Allah...
Ini mungkin dugaan untuk saya, mungkin juga dugaan untuk suami, mungkin juga dugaan untuk kami suami-isteri.. anak dan isteri ni hanyalah pinjaman dunia, panggilan Allah itu jua yang sebenarnya (memetik kata-kata Shah).
Untuk memikirkan alasan-alasan kenapa ini berlaku, memang tidak akan ada penghujungnya.. memang mudah untuk menuding jari kepada orang lain.. Alhamdulillah, kami tersedar lebih awal, tidak perlu menyalahkan orang lain... jika satu jari menunjuk kepada orang lain, 4 jari lagi menunjuk ke arah diri sendiri..
dengan rasa rendah hatinya, kami bermuhasabah diri.. sememangnya kami hamba yang lemah, sememangnya kami telah banyak melakukan dosa, sememangnya kami sambil-lewa mengamalkan ajaran-ajaran Islam, dan sememangnya yang salah itu adalah diri kami sendiri..
kami sedar kini, betapa Allah sebenarnya menyayangi kami, diberiNya kesedaran, tidak dibiarkan terus terbuai dengan nikmat dunia hingga mati begitu sahaja.. Nau'zubillah..
kami sedar kini, hanya kepada Allah yang sepatutnya kami mengadu, sepatutnya kami meminta kerana Allah yang ada jawapan kepada segala yang berlaku di bumiNya ini...
kami sedar kini, betapa tinggi kekuasaan Allah dibandingkan dengan manusia, jika tidak diizinkanNya, betapa dekat pun manusia itu dengan Mekah, tetap tidak dapat kita jejak... seperti saya, betapa dekatnya Yanbu dengan Mekah, telah Allah tetapkan bukan rezeki saya tahun ini, maka tidak dapat juga saya jejak Mekah untuk mengerjakan haji..
Akhirnya, kami sepakat membuat keputusan, panggilan Allah sudah menetapkan bahawa hanya suami yang akan mengerjakan haji tahun ini berseorangan... maka, suami akan tetap mengerjakan haji tahun ini dan saya akan menunggu jemputan Allah untuk menjadi tetamuNya di lain waktu...
Babak kedua drama sedih bersambung pula pada 7 Zulhijjah ketika menghantar rakan-rakan seMalaysia menaiki bas meninggalkan Yanbu untuk menyambut panggilan haji... Semoga kalian mendoakan kesejahteraan hamba Allah yang seorang ini..